Tuesday 17 May 2011

:: Cita-cita ::

Teringat zaman persekolahan kita dahulu. Bila ditanya akan cita-cita oleh Cikgu. Masing-masing akan menyenarai tiga paling kurang cita-cita masing-masing. Tentera, Polis dan Bomba pilihan utama dan glamour. Doktor, Peguam Guru pilihan alternatif dan kebanyakan murid perempuan memilihnya.

Bila sekarang jadi Cikgu, tidak ada jauh bezanya, ketika ingin mengisi kad yang sama. Murid-murid masih memilih cita-cita yang sama. Agak lainnya ada pilihan baru. Angkasawan, Saintis dan sebagainya.
Dan dari dulu hingga kini, masih tidak ada murid yang menyebut dihadapan Cikgu, " cita-cita saya ingin menjadi pendakwah, Cikgu". Tidak termasuk dalam senarai cita-cita yang glamour dan menjadi pilihan.

Bila dikenang kembali dizaman dan masa kita sekarang, dengan cabaran dan mehnah yang berbagai-bagai. Kita amat-amat memerlukan pendakwah.  Bagaimana pentingnya doktor, jururawat yang menjadi pilihan cita-cita dahulu. Pendakwah di zaman ini sama pentingnya dengan kerjaya doktor jururawat di hospital.

Dalam konteks sebagai Cikgu, kerjaya sebagai Cikgu itu boleh dianggap sebagai pendakwah.  Dengan itu bolehlah di'glamourkan' pendakwah sebagai cita-cita utama dalam pilihan murid.

Dengan mengambil pesanan sabda Junjungan, " Sampaikan kepadaku walaupun satu ayat'. Memang orang akan merasa janggal dan pelik. Tetapi bukan kita mahu mengubah apa yang sudah ada dan lama berjalan. Apa yang perlu, adalah sebagai Cikgu harusnya mengingatkan tentang konsep kebertanggungjawaban, konsep menyampaikan kebenaran dan menegur kemungkaran. Ini boleh diselitkan di dalam masa pembelajaran dan pengajaran ( P&P ). Selain mengikut silibus yang sedia ada.

Ini kerana melihat kepada suasana semasa, di sekolah dalam skop yang kecil cabarannya amat besar. Banyak masalah yang berlaku, soal displin, soal kurang minat belajar dan sebagainya. Apabila soal kebertanggungjawaban ditekankan disamping soal tegur menegur Insya’ Allah masalah-masalah yang berlaku akan berkurangan walaupun tidak selesai semuanya.

Cuba kita renungkan Firman Allah yang masksudnya : “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang baik dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.” (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Tulisan ini bukan inginkan semua murid memilih pendakwah sebagai cita-citanya. Kalau itu yang diinginkan oleh murid, Alhamdulillah satu kebaikan. Tetapi apa yang harus ditekankan ialah betapa sebenarnya semua orang adalah pendakwah. Maksudnya ialah pendakwah pada diri dalam skop yang kecil, keluarga masyarakat dan negara. 

Masa kini masyarakat memahami bahawa kerja-kerja dakwah adalah tugas pada Ulamak, Pak Ustaz atau mereka yang bekelulusan agama sedangkan pada hakikatnya jika kita lihat kepada maksud ayat surah Al- Imran 104 semua orang yang mukallaf haru melakukan kerja-kerja menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran, maksudnya kerja-kerja dakwah.

Bertepatan dengan sabda Nabi Junjungan, “ sampaikan kepadaku walau pun satu ayat ”.

Wednesday 11 May 2011

:: Iftitah ::

i.
Dengan lafaz Bismillah, kalam di buka buat iftitah dalam penulisan ini. Moga dengan nama ALLAH yang maha Rahman dan Maha Rahim memberi kekuatan untuk terus mencurahkan idea dan istiqamah dalam membuat catatan serta penulisan di dalam medan ini.

ii.
Alhamdulillah dapat menulis kembali di dalam medium ( blog ) ini. Moga terus istiqamah dan bukan hanya sekadar memenuhi tuntutan Assignment Kuliah. Entah berapa kali blog di buka tetapi hilang tanpa didiami (diisi). Harapnya kali ini terus kekal abadi memenuhi tuntutan dakwah yang suci. Amin.

iii.
Poksyeikh nama diberi di tempat mencari rezeki.  Lantas digunakan sebagai nama blog ini.